Thursday, August 13, 2009
Budi Bahasa Budya Kita
Etika ketika kita berbahasa penting dalam mencerminkan keperibadian penutur. malah juga penting dalam mencerminkan budaya bangsa kita yang dikatakan indah, aman dan damai ini. Jangan rosakkan kesucian bahasa kita dengan pertuturan kesat yang dengan atau tidak sengaja diluahkan. Mudah untuk kita sebut, tetapi tidak mudah untuk pendengar menerima. Bayangkan anda di tempat pendengar tersebut sendiri, apakah perasaan anda? Berfikirlah dengan matang, bijak dan rasional tentang perkara yang ingin anda perkatakan sebelum memperkatakannya kepada khalayak. Setiap yang diperkatakan mencerminkan keperibadian penutur. Belajar untuk menghormati orang lain sekiranya anda ingin dihormati orang lain. Belajar untuk menjaga hati dan perasaan orang lain sekiranya anda hendak orang lain menghormati perasaan anda. Satu lumrah kehidupan, alah bisa tegal biasa. Kita sudah biasa dengan pertuturan yang kita tuturkan setiap hari dengan rakan-rakan, pensyarah dan orang luar. Jadi tidak salah untuk kita memperkasakan lagi bahasa yang kita gunakan tersebut untuk kegunaan harian yang memerlukan kita berinteraksi dengan orang ramai, khususnya dalam sesuatu perhimpunan. Sucikan diri dari perasaan hasad dengki dan dendam. Ini akan hanya membawa kita kepada luahan perasaan yang tidak bertempat dan secara melulu yang akan menimbulkan ayat-ayat yang tidak disenangi dituturkan. Belajar untuk menghayati keindahan hidup, bukannya belajar untuk menikmati keindahan hidup di dunia ini. Berfikirlah dengan rasional sebelum memulakan perbincangan atau memberikan taklimat mengenai sesuatu perkara sebelum ia dimulakan. Jangan nanti sudah terhantuk baru hendak terngadah. Terlajak perahu boleh diundur balik, terlajak kata buruk padahnya. Setiap insan di dunia ini dilahirkan dengan pelbagai perasaan masing-masing yang bermacam-macam yang kita sendiri pernah merasainya. Pertahankan bahasa kita, martabatkan budaya kita untuk bangsa kita.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.